BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, February 13, 2010

Madah Imam Shafie

IMAM Al-Shafie bijak mengungkaikan madah bagi menyampaikan maksud ajaran Islam dengan mendalam. Ungkapannya bertujuan tidak melukakan hati pendengar, selain membolehkan pengikutnya menghalusi maksud di sebalik ajarannya.

Sebahagian besar madahnya mengajak manusia memikirkan arah tuju kehidupan, selain melakukan muhasabah diri bagi memperbetulkan kesilapan yang dilakukan.

Antaranya:-


Perhiasan ulama itu ialah takwanya, keelokannya akhlak mulia dan kecantikannya murah hati.


Tidaklah berjaya seseorang itu dalam menuntut ilmu melainkan dia berada dalam kekurangan.


Tidak ada aib yang lebih buruk bagi seseorang ulama, selain daripada kesukaannya terhadap perkara yang tidak disukai oleh Allah SWT.


Ilmu itu bukannya yang dihafal, tetapi yang memberi manfaat.


Kemiskinan ulama itu disebabkan Faqrul Ikhtiyar (kerana pilihan),sedangkan kemiskinan orang bodoh itu disebabkan Faqrul Idhthirar (kerana terpaksa).


Barang siapa ingin hatinya diterangkan oleh Allah, hendaklah dia banyak berkhalwat (menyendiri), mengurangkan makan, tidak bergaul dengan orang bodoh yang buruk pekertinya, serta tidak berkumpul dengan kalangan orang
berilmu yang tidak mempunyai keinsafan dan adab.

Orang yang berakal itu adalah orang yang diikat oleh akalnya daripada segala perbuatan tercela.


Tanda persahabatan itu hendaklah menjadi teman terhadap teman sahabatnya dan menjadi musuh terhadap musuh sahabatnya.


Tidak ada kegembiraan yang menyamai perjumpaan dengan sahabat dan tidak ada kesedihan yang menyamai perpisahan dengan mereka.


Barang siapa menasihati saudaranya secara diam-diam, bererti dia menginginkan kebaikannya.


Barang siapa menasihati saudaranya di tengah khalayak ramai, bermakna dia telah membuka rahsia saudaranya dan memburukkan namanya.


Barang siapa yang tidak dimuliakan oleh takwa, maka tidak ada kemuliaan baginya.


Jangan anda berbicara sesuka hati kecuali perkara yang perlu saja kerana
kalau anda ucapkan satu kalimat saja bererti kalimat itu telah menguasai
anda dan anda tidak boleh menguasainya.


Bersahabat dengan orang yang tidak takut celaan, sebenarnya lebih tercela.


Menuntut kemewahan duniawi itu adalah suatu seksaan yang ditimpakan Allah
kepada Ahli Tauhid.

0 comments: